Monday, August 25, 2008

PENGHAYATAN SASTERA STPM Menelusuri Ciri-ciri Kritikan Sastera (Bahagian Akhir)

Oleh OTHMAN PUTEH

4. Kritikan Pendekatan PENDEKATAN bermakna suatu proses atau cara mendekati sesuatu. Ia merupakan usaha yang dirangka dalam aktiviti pengkajian ataupun kaedah untuk mencapai pengertian tentang masalah penelitian. Dalam bidang kritikan kesusasteraan, pertimbangan dan penilaian yang dilaksanakan pengkritik lazimnya menggunakan sesuatu aspek atau landas tinjauan yang tertentu. Landas atau dasar tinjauan itu mungkin merupakan ilmu atau teori tertentu pula.
Terdapat pelbagai pendekatan kritikan kesusasteraan yang berkembang di tanah air kita. Antara pendekatan itu adalah:
* Pendekatan intrinsik yang merupakan pendekatan terhadap karya sastera dengan menerapkan teori dan kaedah sastera yang penelitiannya berpremiskan karya sastera itu sendiri, terutamanya menelusuri unsur-unsur dalaman yang membina karya itu seperti plot, watak dan perwatakan, latar, sudut pandangan, dan gaya bahasa.
* Pendekatan ekstrinsik, iaitu pendekatan karya sastera dengan memanfaatkan ilmu bantu bukan sastera seperti sejarah, agama, psikologi, politik, dan sosiologi.
Pendekatan intrinsik dan ekstrinsik ini sering dikaitkan dengan pendekatan struktur atau pendekatan formalistik yang menilai aspek formal yang terungkap dalam sesebuah teks karya, termasuklah aspek tema. Pendekatan ini membicarakan bentuk dan isu secara dominan. Oleh itu, ia sering membincangkan bagaimana muatan cerita atau isi dihantar dalam satu bentuk yang indah (berestetika) dan berkesan.
* Pendekatan moral, yang merupakan penelitian terhadap nilai-nilai moral dan agama. Justeru itu, kajian ini terfokus kepada perilaku watak yang ditampilkan pengarang.
* Pendekatan psikologi yang dikenali juga sebagai pendekatan kemanusiaan. Pendekatan psikologi memperkatakan empat aspek yang saling berkaitan dan melibatkan pengarang, watak dan pengguna (pembaca). Empat aspek yang difokuskan dalam pendekatan psikologi ialah: i. Pengalaman kehidupan peribadi pengarang dan gejolak jiwa yang ada perkaitan dengan sejarah hayat pengarang. ii. Proses penulisan teks karya itu yang melalui pelbagai proses, bermula daripada mencari idea atau persediaan, pengeraman; iluminasi dan verifikasi. Proses penciptaan itu, tidak sahaja berkaitan dengan proses dalaman malah proses luaran. Justeru, tentulah banyak konflik, tekanan, hambatan dan fenomena yang timbul dalam proses penulisan itu. iii. Perilaku zahir batin watak dalam karya. Bermakna kritikan psikologi akan menelusuri perwatakan protagonis dan antagonis dalam menghadapi pelbagai persoalan, konflik, dan cabaran serta bagaimana mereka memantaunya. iv. Impak karya sastera itu terhadap pembaca. Ia tentu sahaja diasosiasikan dengan emosi atau psikologi dan rasional hasil daripada tanggapan serta pengalaman pengguna.
*Pendekatan sosiologi yang cenderung memberi tumpuan perbincangan kepada tiga jurus yang berkaitan dengan individu pengarang, konteks atau masyarakat di persekitaran hidup pengarang.
* Pendekatan arkitaip ataupun tipa induk. Memanfaatkan pendekatan ini bermakna pengkritik membincangkan kepercayaan atau pegangan hidup umum sesebuah masyarakat atau etnik. Ia bagaikan suatu liet motif yang sering dikaitkan dengan adat istiadat, kepercayaan, mitos yang berulang-ulang yang terdapat dalam teks sastera.
Wujudnya pelbagai pendekatan ini memungkinkan teks sastera dalam apa-apa genre sekali pun dikaji daripada beberapa aspek dengan lebih bervariasi, lebih wajar dan memudahkan difahami pengguna. Untuk memungkinkan pemahaman yang lebih berkesan, disarankan pembaca meneliti tulisan kritikan pelbagai pendekatan ini dengan membaca buku Novel-novel Malaysia dalam Kritikan (DBP: 1982) selenggaraan Hamzah Hamdani. Sementara itu, bagi memperdalamkan pemahaman secara praktis, maka senarai bibliografi dalam siri artikel ini amat membantu.
5. Kritikan Penganalisisan Penganalisisan bermakna menyelidik sesuatu karya untuk mengetahui keadaan yang sebenarnya, termasuklah menentukan kedudukan, prestasi atau pencapaian. Dalam konteks ini, apabila seseorang pengkaji atau pengkritik melakukan penelitian terhadap sesuatu genre sastera, maka bererti peneliti itu sedang melaksanakan kerja penghuraian atau penganalisisan. Ketika menganalisis pengkritik melihat sesuatu aspek secara rinci dan atau mendalam tentang bahasa figuratif, permulaan dan pengakhiran sesebuah cereka, motif, citra, watak, pemikiran, perlambangan, nilai, sudut pandangan, aliran dan ideologi yang menyerlah dalam karya sastera. Pendekatan ini juga boleh dilaksanakan dengan melihat teknik penulisan sesebuah teks daripada genre tertentu ataupun meninjau kepengarangan seseorang pengarang mapan/generasi baru dan meneliti kecenderungan karya konvensional serta karya eksperimental. Kerja penganalisisan itu memanfaatkan pendekatan ilmiah dengan menggunakan ilmu atau teori tertentu bagi mencapai matlamat analisis itu. Kritikan penganalisisan menuntut pengkritik menguasai bidangnya, menguasai teori yang ingin diaplikasikan, dan memiliki ilmu bantu yang relevan mantap agar analisis yang dilakukannya benar-benar menepati dan mencapai matlamat atau konsep pendekatan yang dipilih.
6. Kritikan Penilaian Penilaian bermakna melakukan pemberian nilai tertentu kepada sesuatu teks sastera yang menyangkut tentang mutu. Antara tugas penting yang harus dilaksanakan pengkritik yang menerapkan kritikan penilaian adalah menentukan sesuatu teks karya sastera itu bermutu atau tidak, mempunyai kekuatan atau keistimewaan atau sebaliknya. Pengkritik harus bijaksana, adil dan saksama serta memberikan hujah yang relevan dan konkrit sebelum memberikan justifikasinya. Justeru itu, pengkritik dituntut mengetahui dan memahami banyak aspek tentang pengarang yang menghasilkan karya, subjek yang dibincangkan, persekitaran, ras dan waktu yang dipaparkan. Pengkritik tidak boleh bersikap bias, emosional dan memihak. Sebaik-baiknya, apatah lagi bagi membuktikan kewibawaannya, pengkritik harus jujur dengan menunjukkan kekuatan karya @ pengarang dan sekiranya ada kekurangan, maka wajarlah dikemukakan saranan. Di tanah air kita, beberapa orang pengkritik yang melaksanakan tugasnya dengan baik dan penuh hemah ialah Mohd. Yusof Hassan, Yahaya Ismail, Hashim Awang, Ramli Isin, dan Shahnon Ahmad. Sementara Mana Sikana, Kassim Ahmad, Mohd. Affandi Hassan agak lantang, berani akan tetapi tetap berada rel ilmu yang diyakini.

No comments: