Monday, August 25, 2008

PENGHAYATAN SASTERA STPM Penghantar Kritikan Sastera

Oleh OTHMAN PUTEH
DI MALAYSIA, kritikan sastera sudah diterima sebagai satu sains atau disiplin ilmu. Kritikan sastera yang dihantar dalam bentuk tulisan merupakan usaha mencari dan menentukan nilai karya sastera secara jujur. Tugasan ini dilaksanakan dengan kaedah yang bersistematik, sama ada secara selejang terbang mahupun secara serius. Lazimnya tulisan kritikan selejang terbang ini disebut kritikan impresionistik. Kritikan ini sering pula mendapat wadah di akhbar, lalu dikenali sebagai kritikan jurnalistik. Sementara itu tulisan kritikan yang serius, dilaksanakan dengan penelitian bersandarkan pelbagai disiplin ilmu, dikenali sebagai kritikan ilmiah. Kritikan ilmiah banyak dilaksanakan pada peringkat pengajian tinggi dan diterbitkan dalam jurnal atau buku. Dalam usaha menentukan nilai sesebuah karya sastera, pengkritik harus memanfaatkan ilmu pengetahuannya sesuai dengan pendekatan yang dipilihnya. Lebih daripada itu, pengkritik harus menurunkan hujahnya yang relevan dan munasabah bagi memperkukuhkan apa yang dikritiknya. Di akhbar dan majalah, sering ditentukan ruangan ulasan buku atau resensi. Kedua-dua bentuk tulisan itu dikenali juga sebagai kritikan impresionistik atau kritikan jurnalistik. Terkadang-kadang ditemukan esei sastera yang membicarakan gagasan atau teori. Tulisan sedemikian dapat dikategorikan sebagai kritikan teoritis. Hashim Awang (1984: 81) mengklasifikasikan kritikan sastera kepada dua kategori yang penting, iaitu kritikan amali @ terapan dan kritikan teori. Berikut ini dihuraikan kedua-dua kategori kritikan itu dengan pecahannya sekali: ? Kritikan Amali @ terapan, merupakan usaha melaksanakan pertimbangan dan perbincangan terhadap sesuatu teks genre sastera. Perbincangan yang dilakukan secara kritis dan jujur terhadap karya sastera ciptaan pengarang dan bukannya terhadap peribadi pengarang. Bagaimanapun, apakala pengkritik menerapkan prinsip dan pendekatan tertentu dalam tulisan kritikannya, maka pengarang akan ikut diperkatakan terutamanya yang punya kaitan dengan proses penciptaan karya sastera itu. Hal ini dapat ditelusuri melalui pendekatan psikologi atau kemanusiaan kerana pendekatan ini ikut menyelami gejolak jiwa dan pemikiran pengarangnya. Kritikan amali @ terapan ini mempunyai dua pecahan pula: i. Kritikan impresionistik yang cenderung mempersoalkan kesan emosi yang mungkin dicetuskan oleh sesebuah karya sastera. Di samping itu, pengamal kritikan ini mungkin menyatakan sikap dan emosinya sendiri terhadap karya yang dinilai. ii. Kritikan penghakiman yang cenderung menghuraikan dan menganalisis nilai isi, teknik, dan organisasi yang menunjang sesebuah karya. ? Kritikan teori merupakan esei sastera yang secara langsung tidak mengkritik karya sastera. Ia menampilkan teori yang ada kaitannya dengan masalah kritikan, justeru lebih membincangkan prinsip dan istilah yang ada perkaitan dengan kerja pentafsiran sesebuah karya. Ketika melaksanakan tugasnya pengkritik menetapkan kriteria yang diaplikasikan bagi menilai karya dan pencapaian pengarangnya. Dalam konteks sejarah perkembangan kesusasteraan Melayu, genre kritikan ini dianggap sebagai yang bongsu kelahirannya berbanding dengan genre lain. Malah, kelahiran kritikan sastera itu merupakan reaksi terhadap karya daripada genre sastera yang lain. Bagaimanapun, istilah kritikan sastera itu yang kini amat popular, sebenarnya memiliki hayat sejarah yang relatif panjang. Kritikan sastera itu dikatakan buat pertama kalinya dilaksanakan oleh bangsa Yunani, kira-kira 500 tahun Sebelum Masihi. Pengkritik itu ialah Xenophanes dan Heraclitus yang bertindak mengecam hebat pengarang Homerus yang begitu ghairah memaparkan kisah palsu dan tidak senonoh tentang dewa-dewi seperti pencurian, penipuan, dan penzinaan. Jelas bahawa Xenophanes amat mementingkan nilai moral. Istilah kritikan yang sering kita pergunakan dalam bahasa Melayu berasal dari bahasa orang-orang Yunani kuno, krites yang bermaksud "hakim", dan istilah ini berasal daripada kata kerja krinein yang bererti "menghakimi" yang merupakan pangkal daripada istilah kriterion yang bermaksud dasar penghakiman. Hanya kemudian muncul kata atau istilah kritikos yang bererti hakim karya sastera (Andre Hardjana 1981: 2). Dalam Glosari Istilah Kesusasteraan (1988: 163) terdapat penjelasan yang menyatakan bahawa "kritik" merupakan esei atau artikel yang menyorot secara kritis sesebuah hasil seni, biasanya sastera, dengan tujuan menentukan sifat yang dimilikinya dan menuntut mutunya menurut suatu ukuran tertentu yang telah ditetapkan atau sering digunakan. Kritik jauh lebih serius, adil, dan bijaksana daripada ulasan. Sementara kritikan pula merupakan cabang pengajian yang berhubungan dengan hal-hal mendefinisi, mengelaskan, menghurai, dan menilai karya kesusasteraan (Ibid. 1988: 164). Daripada pernyataan di atas, dengan mengangkat anologi itu dapatlah dikatakan bahawa kritikan sastera adalah penelitian yang kritis, penilaian yang jitu, dan pertimbangan yang adil tentang buruk baiknya nilai suatu karya sastera, dengan memanfaatkan pendekatan tertentu ataupun tidak, dan memberi manfaat kepada khalayak pembaca, peneliti lainnya, dan karyawan itu sendiri. Baik di Malaysia mahupun di Indonesia istilah dan definisi kritikan sastera bukanlah merupakan tradisi tulen yang terdapat di kalangan masyarakat Nusantara. Istilah dan definisi kritikan sastera itu baru wujud sesudah pengarang kita memperoleh pendedahan daripada sistem pendidikan Barat pada abad kedua puluh. Bagaimanapun, peryataan itu tidak pula menafikan tentang wujudnya kata-kata "teguran keras", "kecaman", "bidasan", dan "celaan" dalam masyarakat kita. Malah, dalam tradisi sastera klasik, pada zaman Nuruddin ar-Raniri, syairnya dibakar kerana muatan mistiknya bertentangan dengan ajaran penyair Hamzah Fansuri, dan dianggap amat berbahaya pada ajaran agama secara keseluruhannya. Tradisi kritikan sastera yang berasal daripada Barat itu dapat ditelusuri berawal mula pada tahun 1935 apabila tersiarnya tulisan Keris Melayu (Muhammad Yasin Maamor atau terkenal juga sebagai penyair dengan nama pena Pungguk) bertajuk "Tun Seri Lanang dan Abdullah Munsyi (Majalah Guru, 1 Julai 1935). Menurut Sejarah Kesusasteraan Melayu Jilid II (1990: 399), wujud tiga faktor utama maka tulisan itu dianggap sebagai kritikan sastera yang pertama di tanah air kita. ? Keris Melayu menganalisis secara kritis, berdasarkan keupayaan ilmiah dan zamannya, tentang isi dan gaya bahasa Sejarah Melayu. ? Keris Melayu berupaya menyelami dan mengupas hal yang tersirat dalam dua buah karya Abdullah Munsyi yang terkenal iaitu Hikayat Abdullah dan Kisah Pelayaran Abdullah. ? Fokus tulisan Keris Melayu ialah teks Sejarah Melayu, Hikayat Abdullah, dan Kisah Pelayaran Abdullah serta amat sedikit memperkatakan aspek luaran seperti biografi.
Kritikan sastera ternyata begitu mementingkan rasional dan menuntut kehadiran ilmu pengetahuan. Dan hasil tulisan Keris Melayu itu, maka muncul satu lagi bidang intelektual Melayu yang berkaitan dengan penulisan genre kreatif. Pada keseluruhannya, tulisan kritikan sastera Keris Melayu itu tidaklah seobjektif dan tidak juga menepati tuntutan kritikan sastera kini. Hal ini dapat dimengertikan apabila dihubungkan dengan faktor zaman yang melibatkan keadaan politik, ekonomi, sosial, dan pendidikan. Walaupun tulisannya itu longgar dalam bentuk dan definisi, namun usahanya mengkategorikan perwatakan berlandaskan susun lapis masyarakat pada zaman feudal itu -- golongan raja, pembesar, hulubalang, dan rakyat -- jelas memperlihatkan ketelitian dan keprihatinan penulisnya. Apatah lagi Keris Melayu turut menilai watak-watak dalam Sejarah Melayu. Dalam tulisan kritikannya itu, Keris Melayu memberi komentarnya terhadap gaya bahasa pengarang Tun Seri Lanang. Menurut tinjauannya, didapati bahasa Melayu Tun Seri Lanang jelas, sedap didengar dan asli, di samping berusaha mentafsirkan makna tersirat yang terungkap pada beberapa rangkap pantun Sejarah Melayu. Kritikan sastera memang penting dalam usaha menentukan kelangsungan hayat kesusasteraan, malah berupaya mengangkat tamadun bangsa kerana berteras pada hujah pemikiran yang bernas. Tetapi sejak lahirnya tulisan sedemikian, istilah kritikan sastera itu sering cuba dihindari kerana mempunyai makna negatif, tajam, dan keras pada pendengaran, dan dianggap selalu merosakkan atau mematikan. Seperti yang wujud dalam bidang penulisan kreatif juga, masyarakat pengarang Melayu -- tidak mudah menerima sesuatu deviasi apatah lagi inovasi dalam penulisan. Justeru, kritikan Keris Melayu segera mendapat reaksi pro dan kontra daripada kalangan teman pengarang sendiri. Yang ketara dua reaksi yang wajar diperturunkan sebagai melihat senario bidang kritikan pada tahap awal kelahirannya. Pertama, reaksi kontra penulisan Anak Negeri (Mohd. Yusof Ahmad) terhadap tulisan Keris Melayu. Anak Negeri, membantah keras melalui tulisannya "Kita dengan Munsyi Abdullah" (Majlis, 22 Ogos 1935) kerana beliau berpendapat Abdullah Munsyi pengampu orang asing, tidak wajar dipuji, dan memalukan. Apatah lagi, melalui kedua-dua karya autobigrafinya, Abdullah mencerca raja dan masyarakat Melayu. Kedua, Kahbaa-Batu Pahat memberi reaksi pula terhadap tulisan Anak Negeri melalui artikelnya yang berjudul "Anak Negeri dan Abdullah Musnyi" (Majlis, 2 September, 1935). Dikatakan tulisan Kabhaa lebih rasional dan intelektual. Dari situasi begini, dapat dirumuskan betapa masyarakat pada ketika itu, terutama khalayak pembaca, mempunyai sikap kritis dan semangat nasionalisme yang kental. Dan hal ini secara tidak langsung merupakan ilustrasi betapa masyarakat mula menyedari hakikat teks sastera yang diwarisi sejak berzaman itu bukannya kisah khayalan tanpa signifikannya. Malah, khazanah pemikiran yang amat bernilai. Hampir setengah windu pula, tiada kritikan sastera ataupun polemik yang muncul dalam majalah dan surat khabar. Yang dirintis oleh Keris Melayu dan reaksi awal pro-kontra Anak Negeri dan Kabhaa-Batu Pahat tidak dilanjutkan dan tradisi itu terputus. Pada tahun 1939, barulah tulisan bersifat kritikan kembali muncul apabila tersiar karya Perawan Muar yang berjudul "Ikut Suka Luka" (Warta Ahad, Ogos 1939) yang membicarakan kecenderungan pemilihan tema cerpen yang stereotaip tentang cinta pandang pertama dan dihantar melalui teknik surat. Beliau secara sedar menyarankan pengarang agar mengangkat persoalan sosial, ekonomi, dan politik. Selang lima bulan, tampil Marbi-Perak yang menyokong dan menyarankan agar penulis memanfaatkan isu agama, pelajaran, perniagaan, kebangsaan, dan ketenteraan dalam karya mereka. Hal ini dipaparkan dalam artikelnya "Cerita-cerita Rekaan Cermin Kehidupan" (Utusan Zaman, 21 Januari 1940). Tulisan lain yang memberikan respon positif ialah karya Ahmad Alkaf - Pontian dan Mahanum Haji Abdul Razaik. Sementara itu, pada akhir era pra-Perang Dunia Kedua, tersiar sebuah esei kritikan yang berbentuk sejarah dan perbandingan karya Abdul Kadir Sheikh yang bertajuk "Cerita-cerita Melayu Hari Ini" (Warta Ahad, 3 Ogos 1941). Dalam tulisannya itu, Abdul Kadir Sheikh melaksanakan analisis perbandingan dan senario cerpen sejak tahun 1930-an. Ngumba @ Embong Yahya pula merintis bentuk kritikan terhadap sebuah cerpen secara khususnya bertajuk "Shamsuddin Salleh dengan Kolej Tanjung Malim" (Warta Ahad, 9 Jun 1940). Kritikan Ngumba bertolak daripada cerpen Shamsuddin Salleh berjudul "Cermin Pergaulan Hidup di Dunia" (Enam siri dalam Utusan Melayu, 27 April--1 Jun 1940) yang dianggap menjejaskan nama baik maktab tersebut. Umang-umang Tangkak dan Lebai Ketayap, kemudiannya ikut berpolemik mengecam Shamsuddin Salleh. Daripada perbincangan ini, dapat ditelusuri betapa kritikan sastera yang bermula sejak tahun 1935, dengan Keris Melayu sebagai perintisnya, sehinggalah tercetusnya Perang Dunia Kedua terlaksana tanpa menerapkan sebarang pendekatan secara khusus dan lebih merupakan kritikan umum. Penulisnya pula terdiri daripada pengarang kreatif cerpen-puisi seperti Muhammad Yasin Maamor, Mohd. Yusof Ahmad, dan Ngumba yang kebetulan pada lulusan Maktab Perguruan Sultan Idris serta profesion mereka sebagai pendidik. Apabila perang tercetus, maka tradisi penulisan kritikan sastera turut terencat dan terhenti buat beberapa tahun pula. Rujukan Hashim Awang. 1994. Kesusasteraan Melayu dalam Kritikan dan Sejarah. Petaling Jaya: Fajar Bakti. Hashim Awang. 1984. Teman Pelajar Kesusasteraan. Petaling Jaya: Fajar Bakti Hashim Awang. 1988. Kritikan Kesusasteraan: Teori dan Penulisan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Henry Guntur Tarigan. 1984. Prinsip-prinsip Dasar Sastera. Bandung: Angkasa. Ahmad kamal Abdullah et. al. 1990. Sejarah Kesusasteraan Melayu Jilid II. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Andre Hardjana, 1981. Kritik Sastera: Sebuah Pengantar. Jakar: Gramedia. Othman Puteh. 1995. Pengisian Dunia Sastera. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Rahman Shaari. 1989. Berkenalan dengan Kritikan Sastera. Petaling Jaya: Fajar Bakti. Rahman Shaari. 1994. Kritikan Sastera Melayu: Pendekatan dan Pemikiran. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Safian Hussain et. al. 1988. Glosari Istilah Kesusasteraan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

KRITIKAN SASTERA

PENGHAYATAN SASTERA STPM Fungsi Kritikan Sastera
Oleh OTHMAN PUTEH

DALAM artikel yang berjudul "Menelusuri Jagat Kritikan Sastera Melayu: Bahagian Pertama" (Dewan Sastera, Ogos 1998: 87-89) telah disenaraikan lapan fungsi kritikan sastera. Kesemua fungsi itu, sesungguhnya ada kaitannya dengan proses penciptaan sesebuah karya sastera dan apresiasi atau penghayatan terhadap karya sastera itu sendiri. Apabila menyebut tentang proses berkarya bermakna kita merujuk kepada insan atau individu yang menghasilkan karya sastera dalam apa genre pun, yang dikenali sebagai pengarang atau penyair atau dramatis. Insan pengarang itu menghasilkan karya sastera dengan motif tertentu, umpamanya untuk menghantar mesej atau kritikannya terhadap masyarakat dengan memanipulasikan bahasa secara kreatif, tentunya dengan ketrampilan yang menyerlahkan jatidirinya dan membina komposisi ceritanya, dengan teknik penceritaan yang dikuasainya atau disenanginya. Sementara penghayatan karya pula, cenderung merujuk kepada khalayak pembaca yang membaca dan menikmati sesebuah cipta sastera. Apakala berhadapan dengan karya sastera yang multi-genre, yang ditulis oleh pelbagai pengarang, tentu sahaja pembaca akan berhadapan dengan multi-masalah kerana wujudnya perbezaan atau jurang dalam kehidupan dari berbagai-bagai aspek seperti usia, pengalaman, pendidikan, kecerdasan, latar tempat dan seumpamanya. Perbezaan atau jurang ini menyebabkan wujudnya kesan positif-negatif, menimbulkan sikap menolak-menerima sesuatu karya dengan amat mudah, tanpa sebarang hujah yang rasional dan jelas dikuasai oleh emosi. Atau, mungkin pembaca itu dapat atau berupaya mengemukakan sikapnya terhadap karya yang dibaca dengan memberikan petikan contoh. Akan tetapi itu bukanlah kaedah yang jitu dan tepat untuk menyatakan mengapa seseorang pembaca itu pro dan kon; menerima atau menolak sesuatu karya. Ia seharusnya lebih daripada itu. Bukan itu cuma, sebenarnya. Pada tahap inilah perlunya kehadiran pengkritik sebagai penghubung antara teks atau karya pada suatu pihak; dan pembaca pada suatu pihak yang lain. Sebagai pengkritik, seseorang itu mempunyai tanggungjawab yang besar, berat dan ditangannya terletak status karya sastera itu, terutama tentang buruk baik atau bermutu tidaknya karya itu. Menurut Andre Hardjana, (1981: 25) pengkritik harus memiliki sikap terbuka dan tepu kewajaran; harus berupaya secara rasional memberikan akibat-akibat yang dialami sesudah menghayati karya sastera itu. Justeru, dia perlu berfikir secara kritis, merenung dengan tajam, menimbang dengan adil dan bijaksana terhadap karya dan terhadap diri peribadinya juga. Dengan cara itu, barulah dia benar-benar telah menghayati dan memahami karya sastera secara adil, saksama dan matang. Dari huraian ini, dapat ditelusuri tugas setiap individu pengarang, pembaca dan pengkritik. Bagaimanapun, tugas pengkritik yang paling afdal ialah mentafsir, menilai di samping membaca karya secara kritis. Jadi, pengkritik harus mempunyai persiapan diri yang relatif banyak dan besar saiznya berbanding pembaca biasa. Dibandingkan dengan pengarang pula, maka pengkritik sewajarnya mengetahui berbagai-bagai teknik penulisan yang berhubungan dengan aspek-aspek penciptaan, di samping memahami konsep, definisi, dan aliran dalam jagat kesusasteraan itu sendiri. Lebih daripada itu, pengkritik seharusnya tidak menafikan hubungan pengarang dengan karyanya dan wajar mengetahui proses penciptaan itu terlaksana. Segalanya ini merupakan wahana yang amat berguna bagi pengkritik itu memahami segala sesuatu yang berkaitan dengan karya. Dengan kata-kata lain, pengkritik seharusnya tekun, serius dan komited dengan lapangannya. Jadi, membaca haruslah menjadi kewajipan baginya, terutama yang berkaitan dengan teori sastera, teori praktis dan teori teknikal tentang penulisan. Hal ini ditekankan bagi memungkinkan lahirnya pengkritik yang adil, saksama dan dihormati. Sekaligus cuba menghindarkan dirinya daripada dipengaruhi emosi, tidak subjektif, prejudis, dan berprasangka. Apatah lagi, sekarang ini banyak transformasi yang terlaksana dalam jagat kesusasteraan bangsa kita. Umpamanya, dengan pengarang-pengarangnya yang semakin terdidik, banyak kemajuan yang berlaku dalam bidang politik, ekonomi, multimedia dan teknologi; di samping bentuk dan aliran karya, yang konvensional dan baru -- eksperimental sifatnya. Kesemuanya menuntut ketajaman mata fikir pengkritik, kepekaan dan kesaksamaan juga. Berikut ini dibincangkan tentang fungsi kritikan sastera itu. Pertama dan utama kritikan sastera ialah menentukan teks sastera yang baik bermutu dengan teks sastera yang tidak baik dan tidak bermutu. Untuk berlaku adil, saksama terhadap karya dan pengarangnya, pengkritik harus bersikap kritis bagi membuktikan dia telah membaca teks sastera itu berulang kali, memahami makna tersirat dan tersurat yang terkandung dalam teks dan berupaya menikmatinya. Justeru itu, pengkritik harus berupaya memberikan hujah-hujahnya dengan contoh-contoh konkrit bagi membuktikan sesebuah teks karya sastera berjaya mencapai mutu tinggi dari multi aspek atau unsur atau aliran. Sekiranya keterbalikan yang berlaku, maka wajar pula ditunjukkan kelemahan, kekurangan, kerendahan pencapaian mutu seninya lalu dikelompokkan sebagai karya sastera yang gagal. Pada tahap inilah pengkritik itu dituntut kepakaran dan ketrampilan serta melaksanakan penghayatan, memahami, menilai dan akhirnya menentukan baik buruk atau bermutu tidaknya sesebuah hasil karya itu. Di sinilah relevannya hujah Andre. Hadrjana (1981: 24) menegaskan betapa kritikan sastera itu berfungsi memelihara dan menyelamatkan pengalaman manusiawi serta menjalinkan menjadi hubungan suatu proses perkembangan susunan atau struktur yang signifikan. Kedua, kritikan sastera sesungguhnya menghulur bantuan besar dan menyediakan prasarana atau jambatan kepada pembaca menikmati karya sastera dengan menerangkan tentang teks sastera dan pengarangnya dengan jelas. Dalam berkarya, lazimnya pengarang mempunyai motif tertentu mengapa sesebuah karya itu diciptanya. Tidak mustahil ada sesuatu yang ingin dihantarnya atau dikritik atau dikongsi bersama. Semasa perlaksanaan menghantar itu, mungkin pengarang memiliki kaedahnya yang tersendiri atau jati dirinya. Di sinilah pengarang akan memilih diksi yang tertentu, simbol tertentu yang harus diasosiasikan atau ditafsirkan sesuai dengan isu yang ditampilkan dalam karya. Terkadang-kadang, atas sebab-sebab tertentu, pengarang mengjungkirbalikkan sesuatu isu bagi melontarkan kritikannya. Malah, tidak mustahil pula pengarang menghasilkan karya dalam bentuk satira, dan parodi bagi mencapai sesuatu matlamat. Pengkritik yang sensitif dan tajam mata fikirnya tentu sahaja berupaya menyuluh atau memberi sinar kepada karya-karya yang sedemikian untuk memungkinkan pembacanya masuk menikmati atau melihat sesuatu, yang kelihatan kelam suram. Pengkritik juga sewajarnya membantu pembaca menghuraikan segala makna atau citra yang tersembunyi dalam simbol-simbol dan mengasosiasikan kemungkinan-kemungkinan antara teks dan konteks. Keupayaan dan kekritisan pengkritik dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawabnya ini, bermakna dia telah memberikan sumbangan dan mengembangkan pengetahuan baru kepada khalayak pembacanya. Maka secara tidak langsung dia telah melakukan fungsi yang ketiga. Keempat, tulisan-tulisan kritikan sastera bukan sahaja berfungsi kepada pengarang dan pembaca seperti yang dibicarakan di atas, malah; ikut berfungsi kepada individu pengkritik. Kritikan sastera sedemikian, titik tolak atau premisnya terlaksana apabila seseorang pengkritik mengkritik sesebuah karya, kemudiannya; tampil seorang pengkritik lain membalas atau menilai kritikan yang pernah dilaksanakannya. Dari hasil tulisan itu maka wujudlah istilah kritikan atas kritikan. Ini dilakukan bagi mencari dan menemukan sesuatu yang lebih adil dan saksama, diharapkan tidak mencetuskan prasangka, berfungsi memperbaiki salah faham dan menyelesaikan masalah dengan lebih bijaksana serta meyakinkan. Mengapakah isu kritikan atas kritikan ini timbul? Kita seharusnya melihat dari jurus positif demi kebaikan dan kehidupan kesusasteraan itu sendiri. Wujud dua faktor utama maka terjadinya kritikan sedemikian. Pertama, dapat ditelusuri pada diri peribadi pengkritik itu sendiri, dan ini bermakna pengkritik itu melakukan kesilapan, ketidakupayaan memahami atau menguasai teori dan atau gagal mentafsiri karya itu dengan wajar dan saksama. Kedua, pengarang beranggapan pengkritik tidak berlaku adil atau gagal menghayati muatan tersirat dalam karya lalu menghuraikan hujah-hujahnya. Dari aspek ini, pengkritik yang bersikap terbuka, tidak egoistik akan memperoleh sesuatu yang baik dan ini pasti sahaja merupakan aset yang amat berharga dalam kehidupan kritikan praktikal yang membantu pengarang dan pengkritik juga., Kelima, kritikan sastera merupakan suatu aktiviti yang mendorong ke arah terbinanya teori kritikan dan teori sastera baru. Dalam kelangsungan hayat kesusasteraan, teori sastera dan teori kritikan itu amat penting dimiliki atau wujud dalam sesuatu tamaddun bangsa. Apatah lagi mengingatkan bangsa kita mempunyai nilai-nilai yang tersendiri sesuai dengan budaya setempat dan saling bertentangan pula dengan norma-norma atau nilai kehidupan Barat, termasuk kepercayaan beragama. Dari perbincangan tentang pengkritik dan fungsi kritikan ini, dapat dirumuskan dua landasan yang penting yang berhubungan dengan jagat kritikan sastera. Pertama, kritikan sastera yang baik, bertanggungjawab, adil saksama dan dilaksanakan tanpa sebarang prejudis dan rasional, ternyata banyak membantu pengarang dalam proses penciptaan pada masa hadapan. Pengarang bukan sahaja mengetahui kelemahan dan kekuatannya dalam berkarya, malah membantu mengkaji semula kerelevanan karyanya dalam usaha memakmur dan membahagiakan minat atau citarasa pembacanya. Kedua, kritikan sastera yang baik dan bermutu sewajarnya membantu memberikan sinar kefahaman, kenikmatan kepada pembacanya. Pembaca harus memperoleh sesuatu yang bermanfaat hasil daripada pembacaannya. Justeru itu, kritikan sastera wajar dan berupaya mendekatkan pembaca kepada karya, menimbulkan rasa hormat dan sanjungan terhadap teks dan sekaligus idea bernas daripada pengarangnya. Hanya dengan cara ini, akan mengangkat atau meletakkan insan ke suatu tahap yang dihormati. Rujukan Andre Hardjana. 1981. Kritikan Sastera: Sebuah Pengantar. Jakarta: Gramedia. A. Teeuw. 1984. Sastera dan Ilmu Sastera: Penghantar Teori Sastera. Jakarta: Pustaka Jaya. Hashim Awang. 1988. Kritikan Kesusasteraan: Teori dan Penulisan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Hashim Awang. 1998. Penciptaan dan Kemanusiaan dalam Cerpen dan Novel. Shah Alam: Fajar Bakti. Mana Sikana. 1998. Kritikan Sastera Moden: Teori dan Pendekatan. Shah Alam: Fajar Bakti. Rahman Shaari. 1994. Kritikan Sastera Melayu: Pendekatan dan Pemikiran. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Rahman Shaari. 1998. Kesusasteraan dalam Pendidikan Sastera. Shah Alam: Fajar Bakti.
RUJUKAN : DEWAN SASTERA EDISI INTERNET