Monday, August 25, 2008

PENGHAYATAN SASTERA Menelusuri Jagat Kritikan Sastera Melayu (Bahagian Pertama)

Oleh Othman Puteh
KRITIKAN sastera merangkumi tiga aktiviti yang berikut:
· Berkaitan dengan tulisan kritikan deskriptif yang menilai multigenre hasil karya sastera yang diterbitkan. · Berhubungan dengan tulisan kritikan legislatif yang menekankan pelbagai peraturan, kaedah,dan langgam penulisan yang baik, betul,dan bermutu. · Segala bentuk tulisan kritikan teori dalam usaha memperoleh sesuatu teori sastera. Bidang kritikan sastera berkembang cukup jimbam, masih remaja, akar tradisi tidak mantap, dan tidak banyak penulis yang memasukinya secara bertanggungjawab. Pernyataan ini menunjukkan bahawa penulisan kreatif terkedepan berbanding dengan penulisan kritikan sastera.
Walaupun begitu kritikan sastera amat diperlukan, demi kesempurnaan hasil karya sastera. Kegiatan kritikan sastera yang jimbam itu bagaimana pun tetap menyumbang ke arah kemantapan dan kematangan walaupun bermusim.
Kritikan sastera merupakan cabang dan disiplin sastera yang mewujudkan analisis, pentafsiran dan penilaian terhadap sesuatu wacana sastera. Dengan kata lain, kritikan sastera merupakan usaha murni untuk mempertimbangkan dan menilai karya sastera secara jujur dan ceria. Oleh itu kritikan harus dilaksanakan dengan menerapkan kaedah yang tertentu dan bersistematik.
Menyedari hakikat dan fungsi kritikan sastera menganalisis, mentafsir dan menilai sesuatu karya, maka ketiga-tiga fungsi yang disenaraikan di atas wajar mempertimbangkan baik-buruk, kuat-lemah, dan keistimewaan-kekurangan sesuatu karya. Pertimbangan yang saksama harus ditunjangi dengan alasan yang kukuh dan munasabah.
Secara dasarnya, kritikan sastera dilaksanakan secara internal dan eksternal. Kajian secara internal bermakna menganalisis teks dengan meneliti hal strukturnya, diksi, makna cerita, dan kemungkinan ketaksaan atau ambiguiti. Sementara itu kritikan secara eksternal menekankan konteks atau dominasi kepada faktor di luar teks. Justeru itu, kritikan dihubungkaitkan dengan pengarangnya (pendidikan, profesion, ideologi, kepercayaan beragama, budaya, dan aliran), era tertentu, dan pengaruh persekitaran.
Mengkritik karya sastera tidak mudah. Karya sastera bersifat subjektif, sedang pengkritik bersifat objektif. Untuk menyatakan sesuatu karya sastera itu baik atau buruk, haruslah dimanfaatkan kriteria yang objektif dan memiliki ketrampilan tertentu untuk mengungkap kembali pengalaman estetik karya yang ditelaah.
Kritikan sastera adalah disiplin ilmu. Sebagai disiplin ilmu, aktiviti kritikan sastera ada matlamat. Yang ketara, antara pencipta (pengarang) karya sastera dengan pengkritik (dikenali juga sebagai kritikus atau kritikawan) sastera, wujud situasi yang tidak seimbang, malah semacam wujud jurang. Bagaimanapun, kritikan sastera memiliki tujuan yang pelbagai dalam usaha memajukan kesusasteraan.
Kritikan sastera membantu khalayak pembaca memahami sesuatu karya sastera, di samping mentafsirkan dan menilai karya. Penilaian tentang berjaya atau tidak karya sastera harus dibuktikan secara objektif -- di mana dan mengapa karya itu kuat atau gagal. Dengan hujah yang tepat dan konkrit, maka pembaca akan maklum kebaikan atau kekurangan karya itu.
Sasaran kritikan sastera bukan sahaja pembaca tertentu malah pengarang (lebih-lebih lagi pengarang baru) dan masyarakat/peminat sastera. Dengan adanya kritikan sastera, maka terhindar jurang pemisah antara teks sastera dengan pembaca, atau antara penikmat sastera dengan pengarang. Kesemua ini berfungsi mengelakkan kerancuan dan memungkinkan karya sastera lebih mudah dimasyarakatkan. Jelaslah, betapa kritikan sastera amat diperlukan; mempunyai signifikan bagi menentukan kelangsungan jalur perkembangan sastera.
Untuk lebih rinci, Hashim Awang (1984: 80) menyenaraikan sembilan fungsi kritikan sastera seperti yang berikut ini: · Menyumbang dan mengembangkan pengetahuan. · Memberi bantuan besar kepada pembaca menikmati karya sastera dengan menerangkan tentang teks sastera dan pengarangnya dengan jelas. · Membezakan antara teks sastera yang baik dengan teks sastera yang tidak baik. · Menolong pengarang mendidik masyarakat setelah pengarang mengetahui kegemaran dan kemahuan pembaca, iaitu jenis atau bentuk karya sastera yang mereka minati dan ingin. · Memberi keterangan kepada pengarang cara menyesuaikan karya sasteranya dengan pembaca. · Memberi perangsang di samping mendidik orang ramai supaya giat membaca. · Menghapuskan prasangka buruk terhadap karya sastera dan juga kesusasteraan. · Memperkenalkan karya sastera yang baru kepada mereka yang tidak sempat membaca. · Memperbetul salah faham yang timbul antara pengarang dengan pembaca dan menjadi seperti pihak yang menyelesaikan masalah.
Untuk lebih memahami fungsi atau matlamat kritikan sastera itu, dapat kita telusuri beberapa buah buku yang berkaitan; · Novel-novel Malaysia dalam Kritikan (DBP: 1982) selenggaraan Hamzah Hamdani, termuat 28 tulisan kritikan sastera, menganalisis, mentafsir dan menilai novel Melayu yang terpenting dengan menelitinya daripada multiaspek dan memanfaatkan multipendekatan antara lainnya seperti formalistik, sosiologi, psikologi, tipainduk, dan perlembagaan. · Riak dan Gelombang Sastera Melayu: Kumpulan Esei/Kritikan Ramli Isin (DBP: 1987) selenggaraan Othman Puteh yang memuatkan enam kritikan sastera yang dilihat daripada perspektif sosiologi terhadap antologi cerpen Destini, novel Ombak Bukan Biru, Seluang Menodak Baung dan puisi Warna Maya. · Penciptaan dan Kemanusiaan dalam Cerpen dan Novel (PFB: 1998) karya Hashim Awang yang membicarakan karya Shaharom Hussain, Abdullah Hussain, A. Samad Ismail, Arena Wati, dan Usman Awang daripada pelbagai aspek dan pendekatan. · Pengisian Dunia Sastera (DBP: 1995) oleh Othman Puteh yang menelaah genre cerpen dan novel, antaranya Langit Petang A. Samad Said, Saga dan Warisan karya Abdul Talib Mohd. Hassan, Warna Sebuah Lembah karya Osman Ayub, Empangan karya Zakaria Ali, Tikus Rahmat karya Hassan Ibrahim, dan Perlumbaan Kedua karya Marwilis Haji Yusoff. Secara tidak formal dikatakan kritikan sastera bermula pada tahun 1930-an. Menurut kajian Hashim Awang (1988: 102-103) ini tahap pertama bagi mengisi era dari tahun 1930-an hingga tercetusnya Perang Dunia Kedua pada tahun 1941, dikenal sebagai Era Sebelum Perang Dunia II. Pada era ini, kritikan sastera dikatakan baru membentuk tradisinya sejajar dengan perkembangan cerpen yang pesat dalam media cetak. Sesuai dengan bentuknya yang baru lahir dan terlaksana tidak secara serius, maka kritikan itu dipenuhi penilaian yang dangkal, agak emosional (tanpa pendekatan yang tertentu), dan agak subjektif. Antara tulisan kritikan sastera itu ialah "Tun Seri Lanang dan Munsyi Abdullah" oleh Keris Melayu (Majalah Guru, 1 Julai 1935); "Kita dengan Munsyi Abdullah," oleh Mohd. Yusof Ahmad (Majlis, 22 Ogos 1935) dan "Anak Negeri dengan Musnyi Abdullah" oleh Kabha (Majlis, 2 September 1935). Wong Seng Tong yang mengkaji "Kritikan Sastera dalam Kesusasteraan Melayu Moden 1935-1955" (Universiti Malaya: 1977) menyatakan bahawa tulisan kritikan sastera itu adalah: Segala pandangan, fikiran, cita-cita dan perasaan yang ada kena-mengena dengan seni sastera Melayu serta reaksi-reaksi terhadapnya yang hampir-hampir keseluruhannya dimanifestasikan melalui berbagai-bagai makalah sastera yang termuat dalam berbagai jenis majalah dan surat khabar Melayu.
Pernyataan ini, bagi Rahman Shaari menandakan betapa Wong Seng Tong beranggapan tulisan tersebut bukanlah kritikan sastera yang sebenarnya (1994: 2). Hal ini wajar kerana pengkritik sastera pada era itu terdiri daripada guru dan wartawan yang tidak terdedah kepada pendidikan Barat. Apatah lagi tradisi kritikan sastera itu bukanlah hak milik bangsa kita, sebaliknya merupakan sebahagian daripada tradisi Barat.
Kritikan sastera secara formal, lebih moden, dan tepat menyerlah pada era pasca Perang Dunia Kedua iaitu pada tahun 1950-an yang dipelopori oleh Angkatan Sastera 50 (ASAS 50). Hal ini dimulai oleh tulisan Aminuddin Baki yang bertajuk "Pandangan Seorang Penuntut Tinggi Tentang Sebuah Buku Melayu" yang mengkritik novel Keris Mas berjudul Korban Kesucian (1949), yang tersiar dalam Utusan Zaman 12 Jun 1949.
Menurut Wong Seng Tong: Makalah Aminuddin Baki adalah satu-satunya tulisan kritikan praktis (practical criticism) yang amat baik - diusahakan untuk memperkatakan satu-satu karya sastera, dengan sengaja, dengan langsung dan sedar, bukan untuk membicarakan sesuatu di luar latar sastera.
(Rahman Shaari, 994: 2)
Kritikan Aminuddin Baki itu menekankan dua sisi penting yang membangunkan karya sastera novel Korban Kesucian, iaitu isi dan teknik (bentuk). Kritikan yang menerapkan pendekatan formalistik itu menyerlahkan indeks menarik, ilmiah, dan kritis walaupun kurang mendalam. Aminuddin Baki yang memiliki pengetahuan menulis kritikan sastera tidak meneruskannya dan berhenti di situ sahaja. Pengkritik lain pun tidak berusaha melanjutkannya. Bagaimanapun, polemik di kalangan anggota ASAS 50, khususnya antara Asraf dengan Hamzah, serta beberapa penulis lain merancakkan, memperjelas, dan memantapkan lagi dunia kritikan sastera. Tulisan Asraf dan Hamzah agak bersifat teoritis. Asraf, umpamanya, begitu yakin dengan konsep "Seni untuk Masyarakat" yang menjadi slogan/ perjuangan/ ASAS 50 . Dalam tulisannya "Mencari Pembaharuan dalam Kesusasteraan Melayu" (Mastika, Mei 1950), Asraf menyatakan: Hanya falsafah yang berurat tunjang atas dasar rakyat yang dapat diakui sebagai falsafah yang membangun. Falsafah inilah yang harus ada pada sasterawan kita dalam mengadakan pembaharuan dalam seni sastera Melayu.
Sementara itu Hamzah, dalam tulisannya melandasi fikirannya dengan konsep "Seni untuk Seni". Hamzah ternyata amat mengutamakan bentuk @ teknik di samping isi. Menurut Hamzah: Sastera mempunyai bentuk, bentuk itu mengambil rupa sajak, cerita pendek, rencana dan lain-lainnya. Apabila mempunyai bentuk, bentuk itu berkehendakkan atau berhajat pada irama. Umpamanya irama sajak karangan yang romantik berlainan pada irama cerita-cerita realisme dan lain-lain lagi.
Tokoh-tokoh ASAS 50 menghasilkan 501 buah esei kritikan sastera, dan hampir 75 peratus daripadanya mempersoalkan fungsi seni sastera dan sedikit tentang perubahan, pembaharuan, dan arah perkembangan sastera Melayu masa hadapan. Terbukti bahawa Hamzah tidak mempunyai pengikut yang mantap, oleh sebab itu tulisannya yang membincangkan soal estetika tidak mendapat perhatian yang sewajarnya. Hamzah keluar daripada ASAS 50 tetapi gagal membentuk generasi yang memperjuangkan konsep "Seni untuk Seni". Daripada hakikat yang tersebut, semacam ada peminggiran terhadap Hamzah dan kritikan teori yang mengutamakan soal keindahan sastera. Ini merupakan tragedi dalam jagat kritikan tanah air. Bagaimanapun, harus disedari, sekadar mencuplik pendapat Rahman Shaari (1994: 4) bahawa "perbincangan dalam tahun 1950-an tentang konsep-konsep ini tidak memuaskan kerana masing-masing tidak bersedia dengan ilmu bantu yang secukupnya." Apatah lagi, kadang-kadang tulisan mereka berbaur emosi, dan peribadi sifatnya. Bagaimanapun, itulah senario kritikan sastera Melayu hingga menjelang kemerdekaan tanah air.
Rujukan Hashim Awang. 1984. Kesusasteraan Melayu dalam Kritikan dan Sejarah. Petaling Jaya: Fajar Bakti. Hashim Awang. 1984. Teman Pelajar Kesusasteraan. Petaling Jaya: Fajar Bakti. Hashim Awang. 1988. Kritikan Kesusasteraan: Teori dan Penulisan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Hashim Awang. 1998. Penciptaan dan Kemanusiaan dalam Cerpen dan Novel. Shah Alam: Fajar Bakti. Hamzah Hamdani (peny.) 1982. Novel-novel Malaysia dalam Kritikan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Mana Sikana (peny.) 1988. Kritikan Sastera: Masalah dan Peningkatan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Othman Puteh. 1995. Pengisian Dunia Sastera. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Othman Puteh (Peny.) 1987. Riak dan Gelombang Sastera Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Rahman Shaari. 1994. Kritikan Sastera Melayu: Pendekatan dan Pemikiran. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. 1982. Warisan Asas 50. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

No comments: